Oleh Dean Adam
KUCHING, Feb 20: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak mengingatkan masyarakat umum agar tidak mudah mempercayai orang yang hanya dikenali media sosial Facebook (FB) dan tidak diketahui latar belakangnya.
Ketuanya, Supt. Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kebanyakan mangsa sindiket ‘parcel scam’ tidak pernah bersemuka dengan kenalan media sosial mereka.
Bagaimanapun katanya, mangsa dengan mudah menyerahkan wang tanpa usul periksa terlebih dahulu.
“Kebanyakan mangsa terus memasukkan atau memindahkan wang ke akaun yang bukan pun akaun kenalan Facebook tetapi atas nama individu-individu yang berlainan,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, masyarakat umum boleh berhubung dengan JSJK Sarawak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi mendapatkan pandangan dan nasihat sekiranya terdapat sebarang kemusykilan atau keraguan berhubung perkara sebegini. — DayakDaily