Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak diadakan semula buat pertama kalinya selepas dua tahun

Gambar komposit sekitar perhimpunan tersebut pagi tadi.

KUCHING, 24 Jan: Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak telah diadakan semula buat pertama kalinya selepas dua tahun ekoran pandemik Covid-19 yang melanda sebelum ini.

Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak itu telah berlangsung di Perkarangan Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pagi ini tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato’ Aidi Ismail dalam ucapannya pagi tadi menyatakan kegiatan jenayah dan berkaitan dadah yang berlaku di seluruh Sarawak masih di bawah nilai ambang dan terkawal.


Katanya ia adalah hasil kerjasama pasukan polis di Sarawak dalam usaha memerangi dan membanteras jenayah di negeri ini.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Dato’ Aidi turut menyampaikan sijil penghargaan oleh bekas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Dato’ Ramli Din kepada dua pegawai dan tiga anggota Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sarawak serta sijil penghargaan beliau kepada beberapa pegawai dan anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha Ata, Ketua-Ketua Jabatan dan Formasi Serta Ketua-Ketua Polis Daerah Kontinjen Sarawak. — DayakDaily