Pergerakan antara zon merah atau kuning ke zon hijau di Sarawak dihadkan mulai 1-14 Ogos

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Julai: Pergerakan antara zon atau bahagian di Sarawak akan dihadkan mulai 1 hingga 14 Ogos 2020 untuk mengekang penularan wabak Covid-19 khususnya di Bandaraya Kuching.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan bahagian dalam kategori zon merah atau kuning ke bahagian dalam kategori zon hijau.


“Kerajaan pada mesyuarat hari ini telah meluluskan permohonan kerajaan Sarawak untuk menghadkan pergerakan perjalanan antara zon atau bahagian di Sarawak mulai 1 Ogos hingga 14 Ogos 2020.

“Jadi, mana-mana individu yang ingin bergerak antara zon tersebut hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pihak polis manakala pergerakan dalam zon adalah dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya hari ini.

Menurut Sabri, dua zon telah dikenal pasti iaitu Zon 1 yang dalam kategori zon merah dan kuning yang melibatkan Bandar Kuching, Serian dan Samarahan.

Manakala Zon 2 iaitu zon hijau yang melibatkan Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Kerajaan Sarawak juga telah memutuskan untuk mengurangkan jumlah penerbangan dari Semenanjung, Sabah dan Labuan mulai 1 Ogos hingga 14 Ogos 2020,” ujar beliau lagi. — DayakDaily