Perempuan, 19, disyaki terlibat ‘bookie bola’ ditangkap di Bau

Barang rampasan.

BAU, 6 Dis: Seorang perempuan disyaki terlibat kegiatan perjudian ‘bookie’ sempena Piala Dunia 2022 ditangkap dalam satu operasi Op Soga hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah kedai serbaneka di Tondong, Singai Bau sekitar jam 4 petang.

Katanya pemeriksaan terus dilakukan ke atas seorang perempuan berusia 19 tahun yang berada di dalam premis tersebut.

“Suspek kemudian ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian catit taruh tanpa lesen (‘bookie bola’).

“Polis turut merampas satu unit telefon bimbit berserta kad sim, resit bertulis angka ‘FIFA WORLD CUP 2022 QATAR’, pencetak dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut masih dalam siasatan polis

Semakan rekod juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. — DayakDaily