Oleh Chris Bishop
KUCHING, 27 Okt: Perasmian Sukan SEA 2027 sah diadakan di Kuching, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Abang Johari, perkara tersebut telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri tanya saya,’Bolehkah sama-sama menganjurkan Sukan SEA 2027?’
“Saya pun bertanya berapa kos jika Sarawak tanggung 50 peratus. Dan jika boleh perasmian diadakan di Sarawak.
“Jadi Perdana Menteri setuju,” kata Abang Johari dalam ucapan di Majlis Aspresiasi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kuching malam ini.
Menurut beliau lagi, Sarawak menganggap persetujuan menjadi tuan rumah kepada temasya sukan tersebut sebagai satu pelaburan.
Katanya, sudah tentu ramai atlit-atlit negara-negara dari rantau Asia Tenggara akan datang ke Sarawak.
“Mudah-mudahan pada waktu itu nanti, Sarawak sudah ada memiliki syarikat penerbangan sendiri,” katanya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. — DayakDaily