KUCHING, Jun 21: Perarakan Gawai Dayak atau ‘Niti Daun’ sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2018 di Tebingan Kuching esok (Jun 22) dijangka dimeriahkan dengan kehadiran 100 kontinjen dari seluruh negeri ini.
Menteri Utiliti merangkap pengerusi pengelola program berkenaan, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Perarakan Gawai Dayak atau ‘Niti Daun’ ialah acara perarakan masyarakat Dayak dari pelbagai suku kaum dengan pakaian tradisi masing-masing.
Jelasnya, kali terakhir acara seumpamanya diadakan di Sarawak adalah pada tahun 1994.
“Dijangka sebanyak 100 kontijen dengan anggota 30 peserta setiap kontijen akan menyertai dalam Perarakan Gawai Dayak atau ‘Niti Daun’ ini.
“Malah, di sepanjang laluan perarakan sejauh 1.1 kilometer kelak, peserta perarakan akan membuat persembahan kebudayaan iaitu acara ‘muka kota’ di Tower Square Waterfront,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dr Rundi menambah, Perarakan Gawai Dayak atau ‘Niti Daun’ itu kelak akan disertai oleh Ketua Menteri Sawarak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datin Patinggi Datuk Jumaāani Tun Tuanku Bujang.
Katanya, turut serta dalam perarakan tersebut kelak ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan Tan Sri Dr James Jemut Masing serta barisan Menteri Kabinet negeri.
“Selain itu, perarakan sama juga akan disertai persatuan Dayak, ketua-ketua masyarakat dan kaum, ikon belia, pelajar universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Perarakan ini juga turut mengundang āBujang Beraniā, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis selain pemenang Pertandingan Kumang dan Keling Gawai dari semua bahagian di Sarawak,” katanya lagi.
Sementara itu, Dr Rundi memberitahu, acara perarakan itu juga melibatkan penyertaan oleh perarakan motosikal berkuasa tinggi dan juga penyertaan perarakan menggunakan perahu di sungai menyusuri Tebingan Kuching.
Ujarnya, acara berkenaan merupakan simbolik untuk upacara ‘ngalu pengabang’ bagi mengalu-alukan kedatangan tetamu jemputan dan juga peserta terlibat.
“Acara Perarakan Gawai Dayak atau ‘Niti Daun’ ini akan diakhiri dengan persembahan kebudayaan oleh pelbagai kaum etnik Dayak dan juga persembahan oleh penyanyi-penyanyi jemputan Dayak,” katanya lagi. ā DayakDaily