Perangkap sampah dipasang di Sungai Miri

Kelihatan permandangan di sekitar Sungai Miri.
Advertisement

MIRI, Julai 13: Majlis Bandaraya Miri (MCC) merancang untuk memasang perangkap sampah dalam usaha mengubah imej Sungai Miri di sini.

Ini adalah susulan sungai tersebut pernah disenaraikan sebagai ‘7 Sungai Paling Tercemar di Malaysia’.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi tujuan pemasangan perangkap sampah berkenaan.

Advertisement

Katanya, tindakan itu diambil seiring dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Sungai Miri sebagai tarikan pelancongan yang menarik.

“Kita yakin dengan adanya perangkap sampah ini kelak semua jenis sampah yang terapung seperti plastik, kayu dapat dikumpul.

“Pendekatan ini sekali gus membolehkan sampah itu dikumpul secara teratur sebelum diangkat dan dibuang dengan sistematik,” ujarnya.

Yii menambah, pihaknya juga meminta masyarakat awam agar lebih bertanggungjawab supaya tidak membuang sampah ke dalam sungai tersebut.

Katanya, adalah lebih molek jika mereka membuang sampah di tempat yang telah disediakan oleh pihak berkuasa.

“Kita akan memastikan Sungai Miri kekal bersih dan bebas daripada sebarang sampah lagi.

“Masyarakat umum perlu ingat sungai bukannya tempat yang dijadikan sebagai tapak buangan sampah sesuka hati,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement