Perangi dadah, Sarawak sanggup beli anjing pengesan

Abdul Karim (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (12 April, 2021).

KUCHING, 12 April: Sarawak sanggup menyediakan peruntukan untuk membeli anjing pengesan dadah dalam usaha memerangi kemasukan dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, anjing-anjing terlatih ini boleh digunakan untuk mengesan aktiviti penyeludupan dadah khususnya di pintu masuk negeri dan juga melalui kiriman bungkusan.

Katanya, salah satu cara kemasukan dadah ke Sarawak yang amat mudah sekali adalah menerusi kiriman bungkusan.


“Jadi, kita memerlukan banyak anjing sebab hanya anjing sahaja yang boleh menghidu dadah dan ditempatkan di pusat pengumpulan kiriman bungkusan.

“Unit penguatkuasa seperti polis dan agensi anti dadah kebangsaan hanya bergantung kepada maklumat yang diterima, kalau tiada maklumat mereka tidak akan membuka kiriman itu.

“Setiap hari beribu kiriman bungkusan yang diuruskan dan pihak penguatkuasa tidak boleh membuka satu persatu. Jika ini tidak dapat diselesaikan, masalah ini akan terus berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sarawak di sini, hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan menambah, pada masa ini pihak polis dan kastam Sarawak tidak memiliki anjing yang mencukupi untuk melakukan tugas tersebut.

“Kalau tidak silap saya, pihak polis untuk seluruh Sarawak hanya ada dua ekor anjing pengesan. Tetapi pintu masuk kita seperti lapangan terbang, pelabuhan, sempadan seperti di Tebedu dan sebagainya adalah banyak.

“Saya harap kerajaan pusat khususnya Kementerian Dalam Negeri melihat masalah ini  dengan lebih mendalam lagi.

“Kerajaan Sarawak sanggup untuk membeli anjing-anjing pengesan ini dan kerajaan pusat harus juga menyediakan pengendaliannya,” ujar beliau lagi. — DayakDaily