Perais yakin Wan Junaidi calon tepat isi jawatan TYT

Rapelson Richard Hamit

KUCHING, 23 Jan: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) yakin Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar merupakan calon yang tepat bagi mengisi jawatan Tuan di-Pertua Negeri Sarawak (TYT).

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, pengalaman Wan Junaidi yang luas dalam bidang perundangan serta lantang bersuara dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 diperingkat nasional merupakan faktor tambahan.

“Di samping beliau juga cemerlang dalam perkhidmatan sebagai wakil rakyat, speaker Dewan Negara, parti politik dan juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) yang telah terbukti,” kata Rapelson dalam kenyataan hari ini.


Tambah beliau, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah menang besar dalam pilihan raya Negeri Sarawak dan juga pilihan raya umum.

Dengan itu, katanya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Presiden Pengerusi GPS dan Presiden PBB berhak melantik beliau dengan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan politik negara dan Negeri Sarawak.

“Saya berharap agar beliau dapat meneruskan perjuangan memartabatkan MA63 dan kestabilan politik Negeri dan negara.

“Di mana setakat ini GPS merupakan “King Maker” dalam landskap politik tanah air yang dapat menentukan tampok pemerintahan pentadbiran Kerajaan Pusat,” kata Rapelson. — DayakDaily