Perais mohon kerajaan percepat bantuan makanan kepada OKU

Cherishe (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada Donny.Turut kelihatan(dari kiri) Raphelson dan Dominique

KUCHING, 19 Jun: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) memohon agar Kerajaan Negeri mempercepatkan bantuan bakul makanan untuk OKU dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut presidennya Rapelson Richard Hamit, ia seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun lepas ketika menghadapi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita berharap agar Kerajaan Negeri di bawah JKM untuk mempercepatkan bantuan bakul makanan untuk OKU (Orang Kurang Upaya).


“Ini bagi memastikan sentiasa ada makanan di dapur untuk golongan OKU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu tambah Raphelson, Perais juga memohon kepada Kerajaan Negeri untuk memberikan bantuan one off sebanyak RM500 kepada OKU.

Turut dipohon ujarnya ialah tambahan elaun bulanan kepada OKU yang merupakan penerima bantuan daripada JKM.

Sementara itu, Raphelson memaklumkan bahawa persatuan telah mengumpul dana bagi membantu OKU terjejas yang telah mendapat sambutan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak  dan orang ramai.

Katanya, bantuan bakul makanan akan diagihkan bermula pada hari ini.

“Pada hari ini persatuan telah menerima 30 bantuan bakul makanan daripada PKR Sarawak untuk diagihkan kepada kakitangan Bengkel Seri Sarawak yang berpendapatan RM15 sehari dan bulanan RM600 ke bawah,” ujar beliau.

Bantuan telah diserahkan Setiausaha Wanita PKR Sarawak Cherishe Ng kepada wakil Bengkel Seri Sarawak Donny Sa.

Manakala Ketua Cabang PKR Batu Lintang Dominique Ng juga telah menyerahkan bantuan makanan kepada Setiausaha Agung Perais, Fadelize Givan Annuar Put. — DayakDaily