Perais mohon bantuan ‘one off’ dari kerajaan persekutuan dan negeri kepada OKU

Rapelson Richard Hamit

KUCHING, 19 Jan: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) mohon kerajaan persekutuan memberikan bantuan ‘one off’ RM300 kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, ia perlu bagi membantu golongan tersebut seperti yang dilakukan pada tahun lepas.

“Justeru, moratorium juga haruslah diberikan secara automatik tanpa memohon selama enam bulan bagi membantu golongan yang terjejas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Berhubung pelancaran pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) semalam, Raphelson mohon ia dilaksanakan secara menyeluruh dan ekslusif.

Katanya, persatuan menerima lanjutan Bantuan Prihatin Rakyat untuk golongan B40 dan M40 lebih-lebih kepada golongan OKU, warga emas dan ibu tunggal dan juga tambahan bantuan kebajikan bulanan dibawah JKM.

Ujar beliau, di bawah Belanjawan 2021, kerajaan telah meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan di bawah JKM berkuat kuasa mulai bulan Januari 2021.

Di peringkat negeri Sarawak, Raphelson mohon Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) juga harus dipertimbangkan untuk dilanjutkan kepada golongan B40 lebih-lebih lagi untuk golongan OKU dan ibu tunggal untuk tempoh enam bulan.

“Perais juga berhasrat agar kerajaan negeri Sarawak mempertimbangkan untuk memberikan ‘one off’ RM500 bagi membantu golongan ini di samping memperincikan geran khas untuk persatuan dan kelab OKU.

“Ini termasuk geran khas perniagaan dan ekonomi bagi membantu peniaga OKU yang terjejas lebih-lebih peniaga OKU bagi mengelakkan peniaga OKU gulung tikar.

“Manakala perniagaan refleksologi OKU penglihatan haruslah dikategorikan sebagai rawatan tradisional dan bukannya hiburan,” ujar beliau.

Selain itu, Rapelson juga berharapan agar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak memberi satu peratus peluang pekerjaan untuk OKU dalam sektor awam dari peringkat pekerjaan pengurusan sehingga ke sokongan berdasarkan kelayakan. —DayakDaily