Perais: Bonnie layak terima ganjaran RM1 juta Shakam dan gelaran Datuk

Bonnie Bunyau Gustin (file pic)

KUCHING, 29 Ogos: Kejayaan Bonnie Bunyau Gustin meraih emas pada Sukan Paralimpik, Tokyo melayakkan beliau menerima ganjaran RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), kata Presiden Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) Rapelson Richard Hamit.

Selain itu tambah Rapelson, jaguh powerlifting negara itu juga layak menerima bayaran pencen RM5,000 sebulan dan ganjaran bernilai RM100,000 daripada penaja FWD Takaful Berhad.

“Perais juga berharap Bonnie diberi gelaran ‘Datuk’ di atas pencapaiannya mengharumkan nama negara di persada sukan di peringkat antarabangsa.


“Di samping itu, beliau juga harus diberi biasiswa pendidikan seumur hidup bagi melanjutkan pendidikan sehingga ke peringkat PhD di luar atau di dalam negara,” kata Rapelson dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Rapelson turut disokong Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Cawangan Sarawak Isak Ngau dan Setiausaha Persatuan Insan Istimewa Daro dan Matu (IDAM) Masni Mahdi.

Semalam, Bonnie mencatat sejarah sebagai atlet negara yang pertama meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Jaguh powerlifting negara, berusia 22 tahun yang berasal dari Sarawak itu, meraih pingat emas dalam kategori lelaki 72kg selain memecahkan rekod Paralimpik dengan angkatan 228kg. — DayakDaily