Perairan Sarawak diperketatkan kawalan di bawah Op Khas Pagar Laut sepanjang Hari Raya

Anggota Maritim Malaysia menjalankan pemantauan di laut.

KUCHING, 27 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak melakukan Op Khas Pagar Laut sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula 19 April lepas hingga 17 Mei ini.

Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata operasi tersebut adalah untuk mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, sejak dilaksanakan sebanyak 2,100 buah vesel diperiksa dan 28 buah vesel atas pelbagai kesalahan telah ditangkap.

“Umumnya pelaku jenayah beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana beranggapan sebahagian besar petugas akan bercuti dan meraikan perayaan.

“Situasi ini seringkali diambil keselamatan oleh sindiket dan penjenayah demgan melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan, penipuan serta lain-lain jenayah melakui laut.

“Justeru operasi khas seperti Op Khas Pagar Laut akan dapat mengukuhkan kawalan keselamatan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan serta penguatkuasaan dan seterusnya memastikan langkah keselamatan yang lebih efektif dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sideng media di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), hari ini.

Katanya juga, Op Pagar Laut Khas dilaksanakan setiap tahun sejak 2016.

“Tahun ini merupakan tahun ke-7, melibatkan semua maritim  negeri berikutan cabaran dan ancaman berbeza di setiap negeri,” katanya. — DayakDaily