Bomba bantu keluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan di Kpg Belipat, Lawas

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

LAWAS, 27 April:  Seorang lelaki tersepit setelah van yang dipandunya terlibat kemalangan di Kampung Belipat, Jalan Punang Lawas hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata van mangsa dilaporkan telah bertembung dengan sebuah lori pengangkut pasir 10 tan dari arah bertentangan pada jam 12.10 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas diketuai Azman Ibrahim bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja laporan diterima.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dia buah kenderaan iaitu sebuah lori dan van menyebabkan seorang mangsa tersepit.
“Pasukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang diserahkan kepada kakitangan Kecemasan Hospital Lawas untuk untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas kemudian bergerak balik ke balai setelah memastikan keadaan selamat. — DayakDaily