KUCHING, 13 Dis: Perahu tambang yang beroperasi di sekitar Tebingan Kuching bakal berwajah baharu melalui satu projek naik taraf, kata Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), projek ini akan memberi wajah baharu kepada perahu tambang bagi menarik dan membangunkan industri pelancongan Negeri ini.
“Melalui Projek Facelift Perahu Tambang Kerajaan Negeri, perahu-perahu tambang yang beroperasi di Tebingan Kuching akan diberi wajah baharu bertemakan motif-motif etnik kaum di Sarawak serta pemasangan lampu solar.
“Ia sudah tentu menjadi daya tarikan kepada para pengunjung di Tebingan Sungai Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Peralatan Keselamatan kepada peserta Projek Facelift Perahu Tambang di Tebingan Kuching hari ini.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep.
Dalam pada itu, Lee memberitahu, kesemua 22 pengusaha perahu tambang yang terlibat dalam projek ini telah diberi lesen dan Permit Pengangkutan Sungai termasuk perlindungan insurans.
Dalam majlis sama, Henry turut menyampaikan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan, alat pemadam api dan peti pertolongan cemas kepada para pengusaha perahu tambang yang terlibat.
Untuk makluman, projek ini telah melibatkan dua fasa dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM710,000 yang melibatkan proses perlesenan, Permit Pengangkutan Sungai, insurans dan peralatan keselamatan.
Justeru, Lee mencadangkan agar pengusaha perahu tambang menubuhkan satu persatuan rasmi bagi memudahkan pihak kerajaan menyalurkan bantuan.
“Dengan adanya persatuan ini nanti, adalah lebih mudah untuk penyaluran sebarang bentuk sumbangan dan bantuan baik dari kerajaan Sarawak mahupun agensi swasta,” katanya. — DayakDaily