373 nelayan dari Matu menerima elaun sara hidup

Kelihatan sebahagian dari para nelayan yang telah menghadiri sesi tersebut.

Oleh Roslan Mutu

KUCHING, Nov 28: Seramai 373 nelayan di Daerah Matu telah menerima wang Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) pada sesi “Engagement dan Majlis Bersama Nelayan dan Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Secara Tunai” petang semalam.

Senarai penerima wang ESHN tersebut adalah dalam bajet kerajaan yang lepas dan penerima EHSN kali ini adalah yang terakhir sebelum senarai baru dibuat selepas proses ‘pemutihan’ (proses saringan) tahun hadapan.


Proses pemutihan telah dilakukan bermula sejak Oktober 2018 di 18 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) seluruh Sarawak dan majlis di PNK Matu/Daro adalah yang ke-10, dimana sudah terdapat nelayan yang telah diberhentikan elaun ini serta merta kerana tidak memenuhi cukup syarat.

Menurut Ketua Unit Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Institusi Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Awang Khalid Awang Kamarudin, untuk nelayan yang berusia 70 tahun ke atas, mereka akan ditemuduga untuk proses pemutihan, manakala nelayan yang tidak dapat hadir ketika itu, EHSN mereka akan ditangguh atau terus dibatalkan, tetapi mereka masih boleh membuat rayuan.

Dari RM262 juta peruntukan untuk nelayan dari kerajaan sebelum ini, kini hanya RM98 juta diperuntukkan dalam bajet 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Turut hadir dalam majlis terebut ialah Pegawai LKIM Wilayah II Mukah Mastam Nodo. — DayakDaily