Penyerahan projek Pusat Seni Sarawak 2 Mei depan

Abdul Karim ketika ditemui di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Majlis Seni Sarawak. Foto: UKAS

KUCHING, 21 April: Penyerahan projek bagi mengubahsuai bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lama untuk dijadikan Pusat Seni Sarawak akan diadakan pada 2 Mei depan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdul Karim memberitahu, projek itu nanti dijangka mengambil masa lebih kurang dua tahun setengah untuk disiapkan.

“Projek Pusat Seni Sarawak di bangunan DUN lama akan diserahkan kepada kontraktor yang mampu untuk mengubahsuai tempat itu menjadi Pusat Seni Sarawak pada awal Mei ini iaitu pada 2 Mei dan dijangka mengambil masa dua tahun setengah untuk siap,” kata Abdul Karim.


Beliau berkata demikian semasa ditemui di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Majlis Seni Sarawak di sini malam tadi.

Menurut beliau, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menghadiri serta menyaksikan sendiri penyerahan projek kepada kontraktor itu nanti.

Jelas Abdul Karim, kerajaan Sarawak akan menampung sepenuhnya dana untuk perlaksanaan projek tersebut yang mana menelan perbelanjaan lebih RM100 juta.

“Kos untuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan DUN dan bangunan ‘lapau’ di sebelahnya itu nanti akan melibatkan kos melebihi RM100 juta yang mana akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak,” katanya. — DayakDaily