Penyelia akaun terperangkap ‘Macau scam’, rugi RM3,900

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 13: Meskipun bekerja sebagai penyelia akaun, seorang wanita turut terperangkap dengan sindiket penipuan ‘Macau scam’ apabila mengalami kerugian sebanyak RM3,900.

Kejadian menimpa wanita berusia 54 tahun tersebut dilaporkan berlaku semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya Pegawai Tabir Mahkamah Cawangan Melaka.

Katanya, suspek kemudian mengatakan bahawa mangsa ada tertunggak hutang sebanyak RM28,795.75 dengan kad kredit Hong Leong Bank.

“Suspek juga mengatakan mangsa terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat transanksi wang ke bank negara akaun nombor yang diberikan atas nama Norhayati Basri sebagai audit untuk mengelakkan mangsa dari ditangkap,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa yang panik kemudian memasukkan wang sebanyak RM3,900 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.

Katanya, selepas suspek gagal dihubungi sejurus itu, manga mula berasa dirinya telah ditipu.

“Mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily