Lagi suri rumah ditipu, rugi RM5,800 akibat ‘Macau scam’

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 13: Lagi kes suri rumah terpedaya dengan sindiket penipuan ‘Macau scam’.

Kes terbaharu dilaporkan semalam dan kerugian dialami oleh mangsa ialah sebanyak RM5,800.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, laporan yang diterima mengatakan mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama Lee Chia Wei kononnya dari Mahkamah Kuching.

Katanya, suspek kemudian memberitahu bahawa syarikat mangsa di Ipoh, Perak tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Bagaimanapun, mangsa mengatakan kepada suspek bahawa dia tiada memiliki syarikat di Ipoh, Perak.

“Pada hari yang sama mangsa seterusnya menerima panggilan daripada nombor telefon +00006052451222 kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang kemudian memperkenalkan diri sebagai Sarjan Yap,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa menambah, suspek kemudian memberitahu bahawa mangsa ada memiliki akaun bank yang digunakan oleh Tan Boon Hwa untuk kononnya untuk ‘cuci duit hitam’ dan jual beli dadah.

Katanya, mangsa sekali lagi menafikan dia tidak memiliki akaun Maybank dan tidak mengenali orang yang bernama Tan Boon Hwa.

“Selepas itu Sarjan Yap menyambungkan panggilan tersebut kepada seorang kononnya sebagai Inspektor berbangsa Cina.

“Inspektor tersebut kemudian meminta mangsa menyerahkan nombor akaun untuk tujuan semakan.

“Mangsa terus memberikan nombor akaunnya serta ID dan password online banking Public Bank dan Ambank kepada suspek. Selepas itu suspek meminta mangsa menyerahkan nombor TAC kepadanya,” jelasnya lagi.

Tambah Mustafa, pada hari yang sama, mangsa telah menerima mesej dari no. 66300 dan menyatakan wang daripada akaun Ambank beliau sebanyak RM2,200 telah dipindahkan ke akaun atas nama Lim Bin Liok.

Katanya, selepas itu, mangsa menerima satu lagi mesej daripada no. 66300 yang menyatakan wang daripada akaun Public Bank beliau sebanyak RM3,600 telah dipindahkan ke akaun atas nama Albina C.

“Kemudian mangsa telah menghubungi suaminya memberitahu mangsa telah ditipu.

“Anggaran jumlah kerugian dialami mangsa ialah berjumlah RM5,800,” ujarnya lagi. — DayakDaily