Penyakit Tiga Serangkai punca serangan dan kegagalan jantung

Dr Masni membentangkan ceramah 'Penyakit Tiga Serangkai'.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 April: Penyakit Tiga Serangkai iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung koronari dikaitkan dengan gaya hidup seharian dan pengambilan makanan yang tidak seimbang.

Jika ketiga-tiga penyakit ini tidak dikesan lebih awal mahupun tidak dirawat, ia boleh menyebabkan serangan jantung atau kegagalan jantung yang seterusnya boleh mengakibatkan kematian, jelas Pegawai Perubatan Hospital Pakar KPJ Kuching (KcSH) Dr Masni Megey.


“Walau bagaimanapun, ketiga-tiga jenis penyakit ini dapat dielakkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat, menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun dan mendapatkan rawatan dengan segera jika didapati menderita penyakit terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan topik “Penyakit Tiga Serangkai” di program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KPJ KcSH di Kampung Beradek, Muara Tebas, di sini hari ini.

Dr Hazland (sembilan kanan) merakamkan kenangan bersama perserta program. Turut kelihatan Nurhazimah (lapan kanan).

Program CSR dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Beradek itu diadakan sempena dengan Hari Jururawat Kebangsaan 2019 yang disambut pada bulan Mei setiap tahun.

Tema sambutan pada tahun ini ialah “Nurses: A voice to lead health for all” dan dihadiri lebih 150 orang penduduk Kampung Beradek.

Pengurus Besar KPJ KcSH Nurhazimah Mahat, dalam ucapan beliau, terdahulu berkata program CSR ini dianjurkan setiap tahun bagi mempromosikan kesedaran kesihatan dan juga kepentingan saringan kesihatan secara teratur kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Tambahnya, program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab KPJ KcSH dalam menyumbang semula kepada masyarakat selain menjalin dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

“Pihak hospital amatlah prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat terutamanya apabila melibatkan penjagaan kesihatan.

“Justeru, kita berada di sini hari ini dengan harapan untuk mendidik dan memupuk kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat,” ujar Nurhazimah.

Nurhazimah (kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima di Kampung Beradek, Muara Tebas.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program termasuklah ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma iaitu pemeriksaan gula dalam darah dan pemeriksaan tekanan darah, tutorial penjagaan kebersihan tangan, cabutan bertuah, pertandingan mewarna dan banyak lagi.

KPJ KcSH turut mengambil kesempatan untuk memberikan sumbangan berupa wang tunai dan bekalan dapur kepada lima buah keluarga.

Turut hadir memberi sokongan ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni. — DayakDaily