Penutupan IPAKK akibat Covid-19 sebab pembatalan pendaftaran, bantut perkembangan pendidikan kanak-kanak

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 10 Dis: Penutupan sementara Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) yang merangkumi taska dan tadika ketika pandemik Covid-19 menyebab ada segelintir ibu bapa membatalkan pendaftaran ke institusi berkenaan pada tahun hadapan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, selain membantutkan perkembangan pendidikan awal kanak-kanak, keadaan ini turut memberikan kesan kepada aliran kewangan institusi tersebut yang kebanyakannya merupakan milik swasta.

“Penutupan taska dan tadika ketika Covid-19 ini menyebabkan ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit tidak mahu membayar yuran bulanan taska atau tadika anak mereka kerana merasakan anak mereka tidak mendapat atau melakukan aktiviti sepatutnya di taska atau tadika terbabit,” jelas beliau menerusi satu kenyataan media selepas menghadiri mesyuarat mengenai pembangunan awal kanak-kanak di sini hari ini.

Menurut Fatimah, walaupun kelas atas talian dapat dilaksanakan namun ia agak sukar disebab ibu bapa kanak-kanak terbabit yang berkerja selain kanak-kanak ini perlu dibimbing untuk mengikuti pembelajaran atas talian.

Katanya, keadah itu juga akan mendatangkan kesukaran khususnya bagi penduduk kawasan luar bandar yang mempunyai masalah capaian Internet.

“Masalah juga timbul apabila kanak-kanak tersebut berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan peranti yang sesuai untuk membolehkan proses pembelajaran tersebut,” jelas beliau.

Tambah Fatimah, penutupan tadika ini juga turut memberi kesan kepada kemahiran membaca, kemahiran sosial dan kesediaan kanak-kanak terbabit untuk memasuki Tahun 1 pada tahun hadapan.

“Aktiviti belajar sambil bermain tidak dapat dilaksana dan komunikasi serta sosialisasi dengan rakan sebaya kurang berlaku disebab penutupan institusi tadika ini.”

Untuk rekod, seramai 77,526 kanak-kanak yang mengikuti sesi pembelajaran di tadika, tabika atau pra sekolah bakal melangkah ke Tahun Satu tahun hadapan. — DayakDaily