13 kubur di Riam Baru diceroboh

Salah satu kubur di kawasan perkuburan Cina di Riam Baru diceroboh.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Dis 10: Sebanyak 13 kubur di tanah perkuburan Cina di Riam Baru di sini, diselongkar serta dirosakkan individu tidak bertanggungjawab pada petang Sabtu (Disember 5).

Kejadian disedari seorang pemotong rumput yang datang ke kawasan perkuburan tersebut pada petang Sabtu sekitar jam 5.23 untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.


Terkejut apabila melihat perkuburan di kawasan berkenaan dirosakkan termasuk satu keranda serta tulang ditarik keluar, beliau telah segera melaporkan perkara itu kepada pengurus tanah perkuburan untuk tindakan lanjut.

Satu laporan polis telah dibuat pengurus kawasan perkuburan tersebut di balai polis pusat Miri untuk siasatan.

Difahamkan simen 13 buah kubur yang diceroboh itu telah dipecahkan untuk mencari barangan berharga si mati.

Lembaga Amanah Khairat Cina yang menguruskan kawasan perkuburan tersebut juga menyeru ahli keluarga disemadikan di tanah perkuburan itu supaya datang secepat mungkin bagi memeriksa kubur ahli keluarga mereka.

Kesemua 13 kubur yang telah dirosakkan itu adalah dibawah jagaan pihak Lembaga Amanah Khairat Cina.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian.

Beliau turut ditanya motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan suspek mencari barangan berharga seperti barang kemas milik si mati.

“Tiada barangan berharga di sini (kawasan perkuburan tersebut), kerana rata-rata perkuburan yang diletakkan dibawah jagaan Lembaga Amanah Khairat Cina Riam dipunyai keluarga dari golongan orang susah” ujar Sabri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh di tempat perkuburan. — DayakDaily