‘Penunggu gunung’ borong 300 biji durian sehari untuk dijual di Kuching

Valerian duduk diatas kereta 4wd yang sarat dengan muatan durian yang sedia untuk dihantar ke Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Okt: Pagi petang berada di kaki gunung untuk memborong durian yang dibawa turun penduduk kampung Pichin di Serian adalah rutin seharian Valerian Majeng.

Menurut beliau, ia adalah pekerjaan yang dilakukannya selama tempoh lima minggu ini dimana terdapat permintaan tinggi terhadap durian khususnya dari Serian.


Katanya, durian yang diborong adalah buah gunung yang memiliki kualiti tinggi.

Menyifatkan pekerjaannya sebagai ‘penunggu gunung’, Valerian memborong sekitar 300 biji durian sehari dari beberapa pekebun kecil durian di Kampung Pichin.

“Seawal jam 7 pagi saya sudah berada di kaki gunung, menunggu pekebun durian turun membawa buah masing-masing.

“Durian dari gunung Kampung Pichin adalah antara yang terbaik, dan saya hanya membeli buah durian terpilih sahaja.

“Seterusnya pada sebelah petang sekitar jam 5 hingga 6, saya akan sekali lagi ke lokasi yang sama untuk meraih durian,” katanya.

Valerian meraih buah durian gunung dari pekebun kecil Kampung Pichin.

Valerian, 40, pada jam 10 pagi setiap hari akan menghantar durian tersebut ke Matang di Kuching untuk dijual kepada seorang tokay.

Perjalanan ke Matang menggunakan kereta 4WD dengan muatan 300 biji durian mengambil masa lebih kurang dua jam.

Dengan muatan tersebut, beliau memerlukan modal pusingan sekitar RM2,000 untuk dibayar tunai kepada pekebun-pekebun kecil.

Manakala tokay di Matang membeli dengan harga sekitar RM10–RM15 sebiji.

Sesungguhnya rutin harian tersebut agak memenatkan, namun bagi Valerian ia adalah rezeki setiap kali tiba musim durian. — DayakDaily