Penunggang motosikal, pemandu lori maut dalam kemalangan di Asajaya

PDRM logo

ASAJAYA, 7 Jan: Dua lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan lori berdekatan Kampung Terasi Iban, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata dua mangsa yang meninggal dunia ialah penunggang motosikal dikenali sebagai Andrew Tomin, 47, dan pemandu lori, Julian Buang berusia 35 tahun.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.55 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Sampai di lokasi kejadian, didapati pemandu lori tersepit dan pihak bomba terus memulakan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.

“Sebaik sahaja berjaya dikeluarkan mangsa terus diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan mangsa telah disahkan meninggal dunia.

“Manakala terdapat seorang lagi mangsa iaitu penunggang motosikal juga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis. — Dayakdaily