Penunggang motosikal maut, terpelosok di bawah kereta di Demak

Bomba berusah mengeluarkan mangsa dari bawah kereta tersebut.

KUCHING, 6 Mei: Seorang maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan berdekatan stesen minyak Petronas Demak, Jalan Sejingkat lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 12.29 tengah malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua motosikal.

“Terdapat empat orang mangsa yang terlibat dalam kemalangan dan seorang mangsa iaitu penunggang motosikal (Yamaha LC135) telah terpelosok di bawah kereta, manakala dua lagi mangsa dari motosikal Yamaha Lagenda turut mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan Bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang terpelosok di bawah kereta.

“Setelah mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”katanya.

Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Raymond Chieng Wei Khang berusia 20 tahun.

Sementara pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. — DayakDaily