Penunggang motosikal maut selepas telibat kemalangan di Kuching

Keadaan di lokasi kemalangan
Advertisement

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 01 Dis: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tan Sri Abang Ikhwan di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt. Alexson Naga Chabu berkata mangsa ialah Muhammad Amilludin Mansor berusia 24 tahun dan berasal dari Taman Puteri Bandar Semariang.

Advertisement

Semasa kejadian, mangsa dikatakan menunggang motosikal seorang diri dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya iaitu sekitar jam 9 malam.

Menurut Alexson kemalangan berlaku apabila sebuah lagi motosikal dari arah Jalan Sultan Tengah menuju ke Jalan Depo yang dalam proses memotong di laluan sebelah kanan telah melanggar motosikal mangsa.

“Akibat kemalangan itu, sebuah kereta dari arah Jalan Sultan Tengah telah melanggar salah satu motosikal yang berada di atas jalan raya.

“Kedua-dua penunggang motosikal parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat HUS untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala seorang lagi penunggang motosikal yang juga mengalami kecederaan parah masih dirawat di HUS dan dalam keadaan stabil,” katanya.

Pemandu dan penumpang kereta pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut ke masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kenderaan yang terlibat kemalangan dibawa ke Balai Polis Trafik untuk pemeriksaan Puspakom,” kata Alexson. — DayakDaily

Advertisement