Penunggang motosikal maut selepas merempuh kenderaan 4WD di Miri

Kelihatan motorsikal mangsa terperosok di bawah kenderaan pacuan empat roda di lokasi kejadian.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Mac: Seorang lelaki maut selepas motorsikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Datuk Edward Jeli berhampiran simpang ke Taman Piasau Edar semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, 44, beralamat dari Piasau Jaya Fasa 1.


Menurutnya, mangsa semasa kejadian menunggang motorsikal jenis Yamaha Y125ZR seorang diri dari arah Piasau telah merempuh kereta pacuan empat roda tersebut di simpang masuk ke Jalan Taman Piasau Edar.

“Akibat perlanggaran yang berlaku sekitar jam 7 malam itu, motorsikal mangsa terperosok di bawah 4WD Toyota Hilux tersebut dan terseret ke simpang masuk ke Jalan Taman Piasau Edar,” ujarnya.

Impak perlanggaran menyebabkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 ( 1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. — DayakDaily