Penunggang motosikal maut, langgar tiang di Serian

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

SERIAN, 9 Ogos: Seorang penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat kemalangan kendiri di Kilometer 6 Jalan Serian-Tebedu hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa,25, beralamatkan dari Kampung Lanchang Sabai, Jalan Baki Riih, Serian.

Jelasnya, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Serian menuju ke Tebedu sekitar jam 1 pagi.


Katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sehingga terbabas ke tepi jalan dan melanggar tiang telefon.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Serian.

Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1)APJ 1987. — DayakDaily