16,673 penduduk Sebuyau nikmati perkhidmatan perbankan Bank Rakyat

Wan Junaidi (tengah) menyampaikan Geran Bantuan Peneraju Sektor Koperasi (Prospek) berjumlah RM100,000 kepada wakil Koperasi Penduduk Daerah Asajaya Berhad.

SEBUYAU, 9 Ogos: Pembukaan cawangan baharu Bank Rakyat akan memanfaatkan 16,373 penduduk di Daerah Kecil Sebuyau.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perkhidmatan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change memperlihatkan komitmen bank tersebut untuk terus berkhidmat.

“Ia memenuhi keperluan perbankan dan perkhidmatan pajak gadai Islam kepada masyarakat yang masih lagi tiada ataupun kurang keperluan asas perbankan terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Perasmian Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di Dewan Persatuan Nelayan Sebuyau di sini hari ini.

Wan Junaidi yang juga MP Santubong yakin kemudahan perbankan itu akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat termasuk penduduk di Beladin dan Meludam.

Katanya, sebelum ini penduduk-penduduk akan ke Simunjan, Kuching, Sri Aman atau Betong untuk mendapatkan kemudahan perbankan.

“Tetapi dengan bertapaknya Bank Rakyat di Sebuyau, sudah pasti ia akan menjadi pusat perbankan mereka memandangkan terdapatnya jaringan jalan raya yang baik,” kata Wan Junaidi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa cawangan Bank Rakyat akan ditubuhkan di Sungai Asap, Belaga dalam masa terdekat.

Jelas beliau, usaha tersebut mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri yang akan membantu menyediakan akses sambungan Wifi melalui satelit.

Bank Rakyat mempunyai 14 cawangan di Sarawak iaitu di Bintulu, Kapit, Kota Padawan, Kota Samarahan, Limbang, Matang Jaya, Miri, Mukah, Permy Jaya, Sarikei, Satok, Sibu, Simpang Tiga dan Simanggang.

Selain itu, dua buah lagi cawangan Rakyat Xcess dan ArRahnu X’Change terletak di Betong dan Lundu.

Pada masa yang sama, Bank Rakyat juga mempunyai Ar-Rahnu X’Change di Satok dan Rakyat Xcess di Serian.

Turut hadir Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi. — DayakDaily