Penunggang motosikal maut dalam nahas di Miri

Lokasi kemalangan yang meragut nyawa mangsa.

MIRI, 9 Okt: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terbabit kemalangan di Jalan Taman Bulatan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata kemalangan tersebut dilaporkan berlaku sekitar kam 5.30 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun dengan sebuah kereta.


“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa datang dari arah jalan utama iaitu Jalan Taman Bulatan telah berlanggar dengan kereta yang hendak masuk ke simpang sebelah kanan iaitu Jalan Bulatan 1.

“Akibat kemalangan tersebut mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily