Doris kekal calon PRS di kerusi Parlimen Sri Aman — Salang

Salang (dua dari kanan) bersama pemimpin PRS yang lain memotong kek ulang tahun ke-18 PRS. Turut kelihatan Doris (empat dari kiri).

Oleh Chris Bishop

SIMANGGANG, 9 Okt: Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Doris Sophia Brodie kekal calon parti di kerusi Parlimen Sri Aman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum berkata, perkara tersebut telah diputuskan mantan Presiden mendiang Tan Sri James Jemut Masing.


“Keputusan ini telah dibuat ketika Masing masih hidup, nama Doris sebagai calon di Parlimen Sri Aman telah diserahkan kepada Ketua Menteri (ketika itu), kini Premier Sarawak.

“Bagi saya, keputusan ini kekal tidak berubah sehingga kini,” kata Salang.

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam Bersama Presiden PRS anjuran Pemuda PRS Simanggang malam ini.

Hadir sama Adun Bukit Bangunan Datuk Mong Dagang, Adun Tamin Christopher Gira, Adun Pelagus Wilson Nyabong, Adun Baleh Nicholas Kudi, Adun Ngemah Anyi Jana dan Doris.

Tambah Salang, sejak dipilih sebagai calon bagi merampas kerusi tersebut, Doris telah bekerja keras bertemu rakyat di rumah rumah panjang sekitar Sri Aman.

Namun jelas Salang, keputusan muktamad terletak pada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam pada itu, Salang mengakui terdapat beberapa nama turut melobi untuk kerusi tersebut.

Katanya, ia tidak salah kerana Doris belum menerima watikah sebagai calon PRU15.

“Sesiapa saja yang dipilih nanti harus diberi sokongan oleh semua supaya PRS menang di semua enam kerusi,” ujar Salang.

Salang berucap di Majlis Makan Malam Bersama Presiden PRS di Simanggang.

Pada tahun 2019, PRS kehilangan kerusi di Parlimen Sri Aman selepas Datuk Masir Kujat melompat parti menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tahun 2018, Masir bertanding dan memenangi kerusi Sri Aman atas tiket PRS.

Namun pada bulan Mac 2022, Masir mengesahkan beliau keluar dari PSB berkuat kuasa serta merta sekali gus menjadi wakil rakyat bebas.

Pada PRU14 yang lalu PRS tewas di kerusi Parlimen Julau, Lubok Antu dan Selangau.

PRS kini hanya mempunyai dua calon di kerusi Parlimen Hulu Rajang melalui Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Kanowit melalui Datuk Aaron Ago Dagang.

Turut diadakan di majlis yang dihadiri lebih 1,000 ahli-ahli GPS itu ialah acara memotong kek ulang tahun ke-18 PRS. — DayakDaily