Penunggang motosikal maut dalam kemalangan kendiri di Mukah

PDRM logo

MUKAH, 25 April: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di Jalan Kampung Jebungan hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Bingkok John berkata mangsa iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun dan berasal dari Kampung Jebungan, Mukah.

Katanya, semasa kejadian mangsa menungang motosikal dari arah Kampung Penakub menuju ke Kampung Jebungan pada jam 12.15 tengah malam.


“Ketika tiba di suatu tempat di Jalan Kampung Jebungan, mangsa dikatakan telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan memasuki parit.

“Akibat dari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa pegawai perubatan dari Hospital Mukah kerana mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily