Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Julau

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Oleh Juetila Ozzy

JULAU, 30 Julai: Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia selepas dikatakan terlibat kemalangan membabitkan sebuah van di Batu 14, Jalan Kelupu-Julau-Durin, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Collin Baring Empam berusia 27 tahun dan berasal dari Rumah Tedung, Sungai Tuah, Kanowit.


Jelasnya, mangsa semasa kejadian menunggang motosikal seorang diri iaitu sekitar jam 12.30 tengah hari.

Difahamkan mangsa dikatakan tiba-tiba membuat pusingan-U menyebabkan sebuah van tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

“Akibat rempuhan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa kakitangan Klinik Kesihatan Julau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala pemandu van dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan tersebut turut menyebabkan motosikal mangsa terbakar di lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Sarikei.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily