Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Bau

Keadaan di lokasi kejadian.

BAU, 19 Dis: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di kawasan lampu isyarat Jalan Bau-Lundu semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 11.30 membabitkan kereta jenis Perodua Bezza dan motosikal jenis Honda Wave.

Katanya, semasa kejadian pemandu kereta iaitu seorang wanita berusia 20an menyedari bahawa dirinya telah melanggar sesuatu.

“Pemandu kereta segera menghentikan keretanya dan keluar untuk memeriksa keadaan.

“Setelah keluar, dia mendapati terdapat sebuah motosikal di hadapan keretanya dan penunggang motosikal berada di bahu jalan sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggota paramedik dari Hospital Bau kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mengesahkan mangsa yang berusia 21 tahun telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan seterusnya dihantar ke Hospital Bau untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily