KUCHING,23 Ogos: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Batu Kawa, di sini sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa, 32 tahun, berasal dari Kampung Lumut, Jalan Trusan, Lawas.
Katanya, mangsa semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Batu 3 dan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah kereta.
“Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily