Penunggang motosikal maut, berlanggar dengan lori

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

KOTA SAMARAHAN, Dis 23: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 26, Jalan Kota Samarahan–Sadong Jaya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berusia 32 tahun dan berasal dari Kampung Sadong Jaya Tengah, Sadong Jaya.

Katanya mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.


“Kemalangan berlaku apabila lori tersebut yang bergerak dari arah Sadong Jaya menuju ke Kota Samarahan telah bertembung dengan sebuah motosikal (mangsa) yang bergerak menuju Sadong Jaya.

“Perlanggaran berlaku di tengah jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Alexson mengesahkan kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily