LUNDU, 22 Julai: Seorang penunggang motosikal maut selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Kampung Raso, semalam.
Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata mangsa ialah Rijes Nohian berusia 30 tahun dan berasal dari Kampung Raso 2, Lundu.
Katanya mangsa semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal seorang diri sebelum dipercayai terbabas lalu merempuh hadapan sebuah 4WD yang datang dari arah bertentangan sekitar jam 2.30 petang.
“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa maut dan telah disahkan oleh Pegawai Perubatan yang juga berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara pemandu 4WD dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lundu untuk bedah siasat,” katanya.
Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily