Penunggang motosikal diseru mengamalkan disiplin pemanduan baik

Abang Johari (tengah, baju putih) bersama peserta Borneo Adventure Rally 2019 sebelum melepaskan jelajah mereka di Tebingan Kuching.

KUCHING, Mac 14: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu orang ramai mengamalkan disiplin pemanduan yang baik sekiranya mereka menunggang motosikal di sepanjang jalan-raya negeri ini.

“Kamu (orang ramai yang menunggang motosikal) mesti ada disiplin, dan kamu mesti mengunakan telinga apabila mengendalikan mesin terbabit,” katanya ketika bersarapan dengan dan sebelum melepaskan konvoi peserta Borneo Adventure Rally 2019, di sini, pagi ini.

Ini terutamanya kalangan remaja kerana Abang Johari mengakui berpengalaman menjadi seorang penunggang motosikal yang nakal dan tidak mempunyai lesen motosikal ketika zaman remajanya.


“Ketika itu saya di sekolah menengah atas dan berusia 16 tahun. Pemandu keluarga saya ada sebuah motosikal dan saya telah menunggang motosikal terbabit sekitar kampung serta bandar raya Kuching tanpa pengetahuan bapa,” katanya.

Katanya pemandu keluarganya juga tidak memberitahu bapanya yang beliau secara bersembunyi menunggang motosikal tersebut tanpa berlesen tetapi akhirnya rahsia terbabit terbongkar dan bapanya meminta beliau mengambil lesen menunggang motosikal.

“Jangan ikut saya dalam bahagian ini, saya akhirnya mengambil lesen itu dan itulah bermulanya saya menjadi penunggang motosikal,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri menasihatkan warga asing yang menunggang motosikal dalam acara tersebut supaya mengutamakan disiplin pemanduan di jalan raya negeri ini sepanjang perjalanan mereka merentasi Borneo sejauh 3,000 kilometer.

“Saya berharap kamu akan seronok ketika di sini. Saya tahu cuacanya agak berbeza tetapi itu pengalaman yang bagus merasai perubahan dari cuaca sejuk kepada cuaca panas tropika di sini,” katanya.

Beliau juga berharap peserta acara berkenaan dapat melihat yang ketika ini sedang berlangsungnya kerja membina Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini dan kerajaan negeri ini juga akan membina lebuhraya persisir pantai yang mempunyai pemandangan menarik. — DayakDaily