Penunggang motosikal cedera parah pada kedua-dua mata selepas melanggar besi penghadang jalan

Kelihatan motorsikal mangsa di lokasi kejadian.

Oleh Jaythaleela K

MIRI, 20 Sept: Seorang lelaki mengalami cedera parah pada kedua-dua belah matanya selepas tiba-tiba dia hilang kawalan motorsikal jenis Yamaha yang ditunggangi sebelum terbabas melanggar besi penghadang jalan pada petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.10 petang selepas bulatan GK Jalan Miri-Pujut semasa mangsa dikatakan datang dari Piasau menuju Kampung Pujut.


“Sebaik sahaja mangsa berusia 40 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci itu tiba di Jalan Miri-Pujut selepas bulatan GK tersebut, mangsa tiba-tiba gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan,” ujar Alexson.

Tambahnya, semasa kemalangan berlaku, mangsa tidak memakai topi keledar.

Sebuah ambulans dari Hospital Miri telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima penggilan kecemasan.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily