Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan di Samarahan

Keadaan motosikal mangsa.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 6 Mac: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Kilometet 11 Jalan Kota Samarahan-Mambong semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 64 tahun, semasa kejadian menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis BMW GS R1200 dari arah Batu 15 menuju ke Kota Samarahan sekitar jam 2.35 petang.

Katanya, setiba di lokasi kejadian mangs dikatakan berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) yang dikatakan membelok masuk ke simpang.

Advertisement

“Mangsa bergerak lurus dan telah berlanggar dengan MPV Toyota Innova yang datang dari arah Samarahan dan hendak masuk ke simpang Taman Samarax di sebelah kanan.

“Akibat kemalangan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa pihak ambulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ― DayakDaily

Advertisement