Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan di Jln Stephen Yong Link

PDRM logo

KUCHING, 1 Okt: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi meninggal dunia selepas terlibat kemalangan membabitkan sebuah kereta malam tadi.

Mangsa yang berusia 48 tahun dan berasal dari Batu 7 Jalan Batu Kitang semasa kejadian dikatakan bergerak dari arah Jalan Stephen Yong menuju ke Batu 4 iaitu sekitar jam 9.10 malam.

Bagaimanapun, setibanya di persimpangan lampu isyarat di Jalan Stephen Yong Link-Kuching City Mall, mangsa dikatakan berlanggar dengan sebuah kereta.


Sumber memberitahu kereta tersebut semasa kejadian sedang membelok masuk ke arah Kuching City Mall-Taman Desa Wira dari arah Batu 4.

Mangsa dikatakan merempuh bahagian tepi kiri kereta tersebut dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily