Penumpang ‘tangan panjang’ ditahan akibat curi duit pemandu e-hailing

Suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri petang Jumaat di sebuah rumah di Tudan.

MIRI, 26 Jun: Seorang pemuda melarikan dompet milik pemandu e-hailing pada Jumaat ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Penahanan pemuda berusia 32 tahun itu dibuat, kurang dari lapan jam selepas kejadian dilaporkan.

Tangkapan dibuat di sebuah rumah di Tudan, Bandar Baru Permyjaya sekitar jam 6.50 petang.


Difahamkan, sebanyak RM2,000 wang milik mangsa berusia 64 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dilaporkan telah hilang semasa kejadian pada pagi Jumaat (25 Jun).

Namun, semasa tangkapan, polis hanya berjaya menemukan wang tunai sebanyak RM9,00 dari suspek kerana selebihnya telah digunakan untuk membayar hutang judi dalam talian.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, sekitar jam 9.45 pagi, mangsa telah mengambil suspek di kawasan Marina.

“Namun, semasa dalam perjalanan menuju Tudan untuk menghantar suspek, mangsa telah berhenti sebentar untuk membeli minyak di sebuah stesen di Krokop,” ujarnya.

Dipercayai, suspek telah mengambil dompet tersebut yang diletakan dibahagian tempat duduk hadapan ketika mangsa keluar hendak mengepam minyak.

“Semasa mangsa kembali ke dalam keretanya selepas selesai mengisi minyak, suspek sudak melarikan diri bersama dompetnya,” kata Hawari.

Kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily