Penjenayah tegar ditangkap, disyaki segaja bakar rumah di Kg Semarang

Anggota Bomba sedang memadam kebakaran di Kampung Semarang.

KUCHING, 5 Ogos: Seorang penjenayah tegar ditangkap kerana disyaki sengaja membakar rumah di Kampung Semarang, di sini pada awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 29 tahun itu ditangkap sepasukan polis dari Balai Polis Gita pada jam 10.30 pagi tadi.

“Hasil risikan polis dan maklumat orang awam di tempat kejadian telah berjaya menangkap suspek kerana disyaki melakukan perbuatan khianat dengan api,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Katanya suspek juga didapati mempunyai 10 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah harta benda.

“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Justeru, dua kertas siasatan telah dibuka ke atas suspek di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952

“Jika disabitkan bersalah di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

“Manakala kesalahan dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika didapati bersalah,” kata Ahsmon.

Dalam kebakaran yang dilaporkan pada jam 2 pagi itu, sebuah rumah kayu musnah 100 peratus dan turut menjejaskan dua buah rumah berhampirannya, yang masing-masing terbakar 70 peratus dan tiga peratus. — DayakDaily