Oleh Dean Adam
SIBU, Mac 19: Seorang penjawat awam wanita terpaksa berputih mata selepas kerugian RM370,500 akibat terpedaya dengan ‘love scam’.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa yang ditipu itu berusia 33 tahun.
Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan berkenalan dengan suspek kononnya seorang jurutera yang bekerja di London sejak Ogos 2018.
“Mangsa dikatakan memperoleh wang itu hasil pinjaman dari pelbagai sumber.
“Wanita berkenaan juga telah memasukkan wang ke dalam akaun berbeza mulai Ogos 2018 hingga Januari 2019,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, wang diberikan kepada suspek kononnya untuk rawatan ibu suspek, makan minum dan pembiayaan projek pembinaan di London.
Katanya, pengadu sedar dirinya ditipu setelah mendapati gambar yang digunakan oleh suspek adalah palsu setelah pengadu membuat semakan menggunakan aplikasi Google.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
“Sehubungan itu, polis ini mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dengan kenalan Internet terutama yang tidak pernah langsung bersua muka.
“Jangan mudah menyerahkan wang ringgit kepada orang yang tidak dikenali walau apa pun alasan yang diberikan,” tegasnya. — DayakDaily