Jururawat rugi RM2,160 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

MIRI, Mac 19: Gara-gara teruja untuk mendapatkan pinjaman wang secara mudah, seorang jururawat kerugian RM2,160 akibat ditipu sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, sebelum itu mangsa yang berusia 32 tahun telah menerima satu pesanan ringkas dari seorang suspek yang memperkenalkan dirinya dari sebuah syarikat pinjaman.


Katanya, suspek kemudian menawarkan pinjaman wang kepada mangsa sebelum wanita berkenaan terperdaya dan berminat untuk meminjam wang sebanyak RM20,000.

“Suspek seterusnya memberitahu mangsa supaya memberi gambar kad pengenalan dan slip gaji.

“Suspek kemudian menyatakan mangsa perlu membayar duit takaful insurans sebanyak RM2,160 bagi tujuan kelulusan pinjaman RM20,000,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, pada Mac 16 lepas, mangsa yang terdesak dan terpedaya kemudian membuat transaksi dalam talian dan memasukkan wang RM2,160 ke dalam akuan suspek.

Katanya, mangsa sedar dirinya telah ditipu selepas suspek gagal dihubungi selepas itu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily