Penjawat awam Sarawak terima bonus dua bulan gaji

Abang Johari ketika mengumumkan bonus 2 bulan gaji untuk penjawat awam Sarawak di persidangan DUN hari ini (Nov 13, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Nov: Kakitangan awam Negeri Sarawak bakal menerima bantuan khas kewangan bersamaan dua bulan gaji pokok atau minimum RM2,000.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bantuan khas itu akan dibayar sebelum penghujung tahun ini.

Berita gembira tersebut diumumkan Abang Johari pada ucapan penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak amat prihatin dengan kebajikan pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

“Bantuan khususnya dalam menghadapi bebanan kewangan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Pada sidang media selepas ucapan penggulungan, Abang Johari berkata ini bukan pertama kali kerajaan Nnegeri memberi bonus dua bulan gaji kepada kakitangan awam Sarawak.

Katanya, pada tahun lepas kakitangan awam Sarawak juga menerima bonus yang sama.

“Kita gembira dengan pencapaian petunjuk prestasi utama penjawat awam terutama pegawai di pejabat daerah yang terlibat dalam perlaksanaan projek transformasi luar bandar.

“Mereka telah bekerja keras dan sentiasa menepati jadual perlaksanaan,” kata Abang Johari.

Justeru, beliau menggesa penjawat awam Sarawak meneruskan prestasi kerja yang baik agar peruntukan di dalam Belanjawan Negeri 2020 digunakan sebaiknya.

Abang Johari turut memaklumkan yang pemberian bonus tidak melibatkan menteri dan wakil rakyat. — DayakDaily