BMTN beri manfaat kepada 6,078 nelayan Sarawak

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 13: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) bakal menberi manfaat kepada 6,078 nelayan negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi bantuan RM300 sebulan kepada nelayan yang layak yang telah berdaftar untuk tempoh lima bulan pada musim tengkujuh.


“Kerajaan Sarawak memahami kesukaran yang dihadapi para nelayan kita pada musim tengkujuh setelah aktiviti mereka terganggu.

“Sejumlah RM9.1 juta telah diluluskan untuk tujuan ini dan ia melibatkan 5,187 nelayan laut dan 891 nelayan darat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan kementeriannya iaitu Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Di samping itu, kata Uggah, kerajaan juga akan memberi bantuan peralatan kepada nelayan untuk tujuan menambah hasil tangkapan sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II berkata RM20 juta telah diperuntukkan pada tahun 2020 untuk tujuan tersebut.

Sebagai menjawab pertanyaan ADUN Daro dan Kabong berhubung mekanisme penyaluran BMTN, Uggah berkata penerima bantuan ditentukan dengan merujuk kepada senarai nama nelayan yang aktif.

Para nelayan harus berdaftar dengan Jabatan Pertanian Sarawak bagi nelayan darat dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia bagi nelayan laut, tambah beliau.

“Kedua-dua senarai tersebut telah melalui proses pemutihan berdasarkan garis panduan dan tatacara pelaksanaan standard bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar,” katanya. — DayakDaily