Penjawat awam rugi RM7,000 terpedaya beri nombor TAC

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

SIBU, April 21: Seorang penjawat awam rugi RM7,000 selepas tertipu dengan sindiket penipuan Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt, Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan dari seorang lelaki yang mengatakan telah menghantar pesanan ringkas ke nombor telefonnya.


Jelasnya, suspek itu kemudian meminta mangsa yang berusia 20 tahun membaca nombor (TAC) yang dihantar dari Molpay Sdn Bhd.

“Suspek mengatakan nombor tersebut telah digunakan untuk menghantar wang ke bapa mangsa yang sedang sakit.

“Tanpa ragu-ragu, mangsa telah membaca nombor TAC yang dihantar melalui nombor operator 68833 kepada suspek,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, mangsa kemudian membuat semakan wangnya melalui perbankan dalam talian dan mendapati wang dalam akaun simpanannya telah berkurangan sebanyak RM7,000.

Katanya, wang tersebut merupakan wang simpanan dan juga hasil kiriman bapa mangsa.

“Mangsa menyedari telah ditipu setelah membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati wang di dalam akaunnya telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga,” katanya. — DayakDaily