MA63: Penubuhan PSC, perjumpaan dengan KM Sarawak, disambut sebagai tanda keikhlasan

Datuk Seri Fadillah Yusof

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Dean Adam

KUCHING, April 21: Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Liew Vui Keong berhubung penubuhan sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disambut baik oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua Whip GPS, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pengumuman itu dan juga persetujuan Liew untuk berjumpa Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai usul pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, adalah bukti keikhlasan kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam meneruskan rundingan berhubung perkara itu dan seterusnya mengembalikan hak-hak dan keistimewaan Sarawak yang telah lama terhakis.


“Penubuhan PSC berkenaan juga selari dengan cadangan GPS supaya jawatankuasa pilihan khas ditubuhkan bagi membincangkan lebih lanjut mengenai cadangan pindaan itu, seperti disuarakan Ahli-Ahli Parlimen GPS di Dewan Rakyat.

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap dengan penubuhan jawatankuasa itu isu pindaan tersebut dapat dibincangkan secara terperinci dan lebih menyeluruh sebelum dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. — DayakDaily