Oleh Dean Adam
SIBU, April 20: Seorang penjawat awam lelaki kerugian RM60,000 selepas tertipu dengan ‘kekasih’ Facebook (FB).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata mangsa dikatakan telah berkenalan dengan suspek yang dikenali sebagai ‘Aishah’ menerusi laman FB sejak November 2017.
Jelasnya, mangsa yang berusia 28 tahun dan suspek kemudian saling berhubung menerusi aplikasi WhatsApp sehingga lelaki itu mengajak suspek untuk berkahwin.
“Bagaimanapun, suspek telah meminta mangsa untuk memasukkan sejumlah wang sebagai wang hantaran.
“Sejak itu, mangsa telah membuat transaksi pemindahan wang mencecah RM60,000 ke atas akaun yang tidak dikenali mulai November 2017 sehingga April 2019,” katanya di sini hari ini.
Mustafa Kamal menambah, sumber kewangan tersebut adalah hasil wang pinjaman peribadi dari sebuah institusi kewangan.
Katanya, mangsa menyedari telah ditipu selepas kekasih FB itu tidak dapat dihubungi lagi.
“Mangsa membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily